Selamat Datang Risna's Simple Blog: Lafaz bismillah induk bagi segala kebaikan(BUku buah dari Pohon cahaya

Galeri

Lafaz bismillah induk bagi segala kebaikan(BUku buah dari Pohon cahaya




1. KATA PERTAMA

Bismillah adalah awal dari segala yang baik. Kita mengucapkan Bismillah ketika memulai suatu pekerjaan. Ketahuilah bahawa perkataan mulia ini merupakan lambang Islam dan di waktu yang sama sebagai puji-pujian yang selalu dinyanyikan tak henti-henti oleh segala makhluk yang menghuni bumi ini. Jika engkau ingin memahami kekuatan kata “Bismillah” dan betapa hikmah yang diberikan itu tidak berpenghujung, maka perhatikanlah perumpamaan berikut ini :


Seseorang yang ingin berkelana di gurun pasir Tanah Arab di mana terdapat banyak gangguan orang-orang Badwi, perlu menyebut salah satu nama Sheikh dan mengaku mendapat perlindungan daripadanya. Hanya dengan cara demikian musafir tersebut akan selamat dari gerombolan perompak dan sampai ke tujuannya. Jika tidak, ia akan menemui ajalnya di tengah jalan kerana dihadang musuh dan rintangan yang bertubi-tubi.

Syahadan, ada dua orang yang memulai perjalanan mengharungi gurun pasir. Seorang mempunyai sifat rendah hati, manakala seorang lagi sombong. Musafir yang rendah hati dan sederhana itu memohon perlindungan dari seorang Sheikh, manakala si tinggi hati tidak menganggap hal itu penting. Si rendah hati berjalan ke mana-mana dengan selamat. Setiap kali bertemu dengan penjahat, dia berkata, “ Saya berkelana atas nama Sheikh Anu..”, maka penjahat itu tidak berani mengganggunya. Malah di setiap khemah yang dia hampiri dengan menyebut Sheikh tersebut, dia diperlakukan dengan hormat. Sebaliknya si angkuh menderita luar biasa sepanjang perjalanannya. Dia dicengkam rasa takut dan harus meminta-minta jika menginginkan sesuatu. Dia benar-benar telah menjadi seorang yang hina dan dinistakan orang.

Wahai jiwa yang angkuh! Engkaulah musafir itu dan bumi ini bagaikan gurun pasir. Engkau lemah dan papa kedana. Musuh dan kesengsaraan yang engkau hadapi tak terkira jumlahnya. Oleh itu sebutlah nama Tuhan.

Hanya dengan menyebut nama Allah engkau akan dibebaskan dari rasa hina dan takut menyaksikan keadaan sekelilingmu.

“Bismillah” adalah satu perkataan yang amat luhur yang mendekatkan engkau kepada Allah Yang Maha Kuasa Lagi Maha Pemurah.

Kelemahan dan kemiskinanmu akakn berubah oleh keananya sehingga menjadi tumpuan di sisi Allah Yang Maha Mulia. Siapa yang mengucapkan “Bismillah” adalah ibarat seorang yang mendaftar masuk tentera lalu berjuang atas nama negara! Dia tidak akan takut kepada sesiapapun. Dia berjuang atas nama hukum dan negara sehingga dia berani menghadapi segala rintangan.

Semua makhluk mengucapkan Bismillah pada awal permulaan
Kalimat di atas memerlukan keterangan seperti berikut:

Umpamanya ada seseorang yang masuk ke bandar dan memaksa seluruh penduduknya untuk berkumpul di suatu tempat dan melakukan suatu pekerjaan. Jelaslah bahawa orang itu tidak bertindak seorang diri atau berdiri atas kekuatan peribadinya semata. Mungkin dia merupakan seorang tentera yang bertindak atas nama negara atau atas kekuasaan seorang raja.
 

Begitulah yang terjadi ke atas benda-benda di muka bumi ini yang bertindak atas nama Tuhan Yang Maha Kuasa. Setiap pohon mengucapkan “Bismillah” dan mengisi “tangan”nya dengan buah-buahan yang disediakan untuk kita. Setiap kebun juga mengucapkan “Bismillah”, menjelma ibarat bejana besar kepunyaan Tuhan yang terdapat ribuan jenis makanan yang lazat-lazat belaka. Semua haiwan seperti sapi, lembu, unta, kambing dan biri-biri juga mengucapkan “Bismillah”. Bagaikan sumber yang mengalir di dalamnya limpahan susu rahmat Allah. Kita beroleh kehidupan yang penuh kenikmatan, kemurnian dan subur atas nama Allah Yang Maha Pemurah. Setiap tanaman, rumput dan akar-akar yang halus bagaikan sutera juga mengucapkan “ Bismillah ”. Tanaman menembusi permukaan bumi yang kadang-kala melalui batu padas dengan ucapan “Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah”. Pepohon menguakkan cabang-cabangnya ke udara; akar-akar merambat dan menyebar tanpa halangan dan menembusi batu pada dan keras. Daun-daun yang berwarna hijau tetap lembap selama berbulan-bulan meskipun di bawah terik mentari. Semua ini merupakan bukti dan juga sebagai hujah yang menyangkal para pengikut materialisme.

Sifat keras dan sifat panas yang kita akui kewujudannya, juga bertindak sesuai dengan perintah Ilahi. Ranting pohon lurus yang menjadi tongkat Nabi Musa a.s. juga menurut perintah Allah sebagaimana firman-Nya:

“Lalu Kami berfirman: “ Hai Musa! Pukulkanlah tongkatmu ke atas batu itu.” ( Surah al-Baqarah: 60 ) sehingga ia dapat membelah batu karang.
Dan daun-daun nipis melayang-layang dan ranting-ranting berhamburan dalam nyalaan api, namun tidak sedikitpun menyakiti nabi Ibrahim a.s. atas suruhan Allah:

“Hai api! Jadilah kau benda yang sejuk dan selamat.” ( Surah al-Anbiya’:69 ) menentang sifat panas yang disemburkan nyalaan api.

Semenjak itu semua makhluk menuturkan kata “Bismillah”.

Anugerah Allah telah diberikan kepada kita dengan nama Allah. Kita wajib menyambutnya dengan “ Bismillah ”. Kita memberi dan menerima sesuatu dengan nama Allah. Hendaknya kita tidak menerima sesuatu apapun tanpa menyebut nama Allah. Di dalam kehidupan ini, kita harus membayar harga setiap apa yang diberikan oleh orang lain kepada kita, walaupun hanya berbentuk jasa. Berapakah pula harga yang diminta oleh Allah, Pemilik sebenar dari segala yang wujud itu? Allah Pemberi segala kenikmatan hanya meminta kepada kita tiga perkara iaitu: mengingati-Nya, mengucapkan syukur ke atas nikmat-Nya dan hendaklah kita memikirkan kekuasaan-Nya.
Ucapan “ Bismillah ” menyatakan bahawa kita mengingati-Nya. Kalimah “Alhamdulillah” pula menyatakan rasa kesyukuran. Bertafakur adalah cara untuk kita memikirkan nikmat yang kita terima sebagai mukjizat kekuasaan Allah Yang Maha Kuasa. Jika kita mahu berterima kasih dengan mencium kaki seorang pesuruh yang menghantarkan hadiah berharga dari raja, tidakkah kita ini terlalu bodoh kerana tidak mengenal asal sebenar hadiah itu? Maka orang yang memuji si pesuruh dan melupakan pemberi sebenar hadiah itu adalah amat bodoh.

Oleh itu wahai manusia, hindarkan kebodohan yang sedemikian rupa! Berilah dengan nama Allah dan terimalah dengan nama Allah. Mulakan hari ini dengan nama Allah. Sekian.
 

0 komentar:

Posting Komentar

Tinggalkan komentar anda dibawah ini (Trisna Irianti)